Bekas ahli kumpulan Elite, Watie Sadali bersetuju untuk membayar ansuran lebih RM2,000 sebulan kepada Hana Adnan bagi menyelesaikan hutang tertunggak.
Memetik Berita Harian, saman penghutang penghakiman itu difailkan Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan pada 18 Mei 2017 susulan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 10 Mac 2015 dalam kes saman induk yang memerintahkan Watie membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83.
Ganti rugi itu dituntut Hana kerana mendakwa Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali gagal menjelaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kereta Toyota Wish.
Melalui persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak hari ini, Watie yang kini aktif berlakon drama bersetuju membuat pembayaran ansuran lebih RM2,000 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang berjumlah RM796,000 termasuk faedah kepada Hana.
Dalam prosiding itu, Watie diwakili peguam Aqila Zulaiqha Zulkifli. Kedua-dua mereka tidak hadir di mahkamah.
Dalam saman penghutang penghakimannya itu, Hana turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah waran tangkap jika Watie gagal hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan kegagalannya membayar hutang itu.
Dalam pernyataan tuntutannya melalui saman induk, Hana berkata, beliau membuat pinjaman bank sebanyak RM150,000 untuk membeli kenderaan terbabit pada September 2005 untuk Watie kerana Watie tidak layak membuat pinjaman.
Menurut Hana, selepas memiliki kenderaan itu, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuk tidak membuat bayaran ansuran sejak September 2010 kepada pihak bank yang menyebabkan Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2013.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit foto: Berita Harian