Berita

Wilson Tan Jadi ‘Muse’! Jonathan & Farel Mikhail Terus Usaha Martabatkan Fesyen Tradisional Secara AI Sempena Siri Jelajah Pesona Kebaya

Share

Meskipun pelbagai fesyen moden dan kontemporari dikatakan lebih menyerlah ketika ini, namun keistimewaan dan keunikan busana tradisional Melayu tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Buktinya, persalinan tradisional Melayu kini kian diminati generasi muda apabika ada yang dilihat lebih terbuka dan berani menggayakan pemakaian warisan dalam pelbagai acara yang dihadiri.

Bagi dua pereka fesyen, Jonathan Kok dan Farel Mikhail dari FM Group, penerimaan positif terhadap busana tradisional terutamanya kebaya diteruskan menerusi siri Jelajah Pesona Kebaya.

Program siri jelajah yang diberi nama bersempena buku terbitan mereka Pesona Kebaya-The Enchanting of Kebaya ini bermula semalam di acara World Top Gourmet Awards 2024 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

“FM Group berpeluang menonjolkan rekaan jenis-jenis kebaya yang terdapat di Malaysia dalam pertunjukan fesyen malam tadi.

“Alhamdulillah, destinasi pertama untuk siri Jelajah Pesona Kebaya berlangsung dengan jayanya.

“Apa yang menarik, kami dapat mengetengahkan 12  jenis kebaya antaranya Kebaya Kota Bharu, Perlis, Negeri Sembilan, Baba Nyoya, Johor – Riau serta banyak lagi dalam kalangan 1,500 penonton berbilang kaum seperti Melayu, Cina dan India dari dalam serta luar negara yang hadir dalam acara itu.

“Rupa-rupanya masih ramai yang tak tahu fesyen kebaya ada pelbagai jenis dan latar belakang. Semua maklumat itu telah kami kumpukan dalam sebuah buku Pesona Kebaya yang telah dilancarkan sebelum ini.

“Apa yang ada dalam buku tersebut, kami terjemahkan dalam bentuk pertunjukan fesyen pula,” katanya.

Sementara itu Jonathan menambah, pertunjukan fesyen kebaya yang pertama seumpamanya ini turut mendapat sentuhan teknologi AI atau kecerdasan buatan (Artificial Intelligence).

“Seiring dengan trend masa kini, buat pertama kali di Malaysia, kami menggunakan konsep teknologi AI yang turut memperaga serta memperkenalkan secara terperinci fesyen kebaya yang dibawakan.

“Ini secara tak langsung menarik minat penonton terutamanya generasi muda untuk mendalami lagi tentang fesyen kebaya. Bagi saya, gabungan AI dan fesyen tradisional merupakan langkah baharu yang perlu diteruskan demi memartabatkan kebaya.

“Kami akan menggunakan konsep yang sama dalam siri Jelajah Pesona Kebaya yang akan datang. Lokasi seterusnya akan kami umumkan dalam media sosial Precious of Malaysia,” katanya.

Pertunjukan fesyen kebaya itu telah disempurnakan oleh Elégante Modelle yang turut menampilkan model-model ratu cantik iaitu Michelle Koong, Vinly Yim, Sally Lim, Angie Tan, Stella Lim, Veron Tan, Tracy Shi, Lee Tieng Tieng, Joyce Ng dan Angel Kwat.

Bukan itu sahaja, FM Group juga menampilkan muse mereka iaitu Wilson Tan yang pernah dinobatkan sebagai Asia Best Model dan Malaysia Top Male Supermodel.

Sedikit info tentang buku Pesona Kebaya, apa yang istimewa Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah berkenan mencemar duli melancarkan buku Pesona Kebaya- Enchanting of Kebaya (Dwi-Bahasa) pada Malam Gala di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), pada 4 Ogos baru-baru ini.

Terdahulu, seperti apa yang telah dilaporkan pihak media, tahun lalu pakaian tradisional kebaya telah dihantar pencalonan ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity.

Di negara ini, kebaya merupakan pakaian yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Baba Nyonya, Chetti dan Jawi) dan lain-lain masyarakat di Malaysia.

Disebabkan faktor ini selain FM Group yang membawa slogan ‘Pesona Kebaya Road To UNESCO, ia menjadi pilihan buat Jonathan Kok dan Farel Mikhail untuk menghasilkan buku Pesona Kebaya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mempromosi baju kebaya di dalam dan luar negara.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH