
Sempena ulang tahun ke-40 penubuhan, kumpulan rock legenda tanah air, Wings merancang untuk mengadakan siri konsert jelajah istimewa di penjara seluruh negara.
Menurut vokalisnya, Datuk Awie, konsert ini bakal menjadi yang pertama seumpamanya dan merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Kami merancang untuk mengadakan konsert jelajah tapi kali ini bukan di tempat terbuka tetapi di penjara. Perkara ini sudah pun dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri.
“Beliau sudah pun bersetuju dan suka dengan projek ini dan mahu projek ini direalisasikan. Ini adalah sesuatu yang orang lain tidak fikirkan,” ujar Awie.
Tambahnya lagi, program ini bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya satu bentuk motivasi dan sokongan buat penghuni penjara yang juga merupakan peminat muzik dan kumpulan Wings.
Penaja Bagi Jayakan Misi
Wings yang bekerjasama dengan Rumah Produksi Merah turut memohon sokongan daripada mana-mana pihak yang sudi menaja bagi merealisasikan misi ini.
Menurut Awie, konsert ini tidak akan melibatkan penjualan tiket kerana ia merupakan projek kebajikan sepenuhnya.
“Saya harap anda semua dapat uar-uarkan perkara baik ini supaya kita mendapat sokongan daripada pihak penaja. Kita tidak akan menjual tiket. Ini adalah program kebajikan.
“Jadi, kami mengharapkan pertolongan daripada para usahawan atau syarikat korporat. Sebaik sahaja ada penaja, kita akan teruskan projek ini,” katanya.
Malah jelasnya, pihak penjara juga difahamkan telah meluluskan lebih 40 lokasi di seluruh negara untuk dilawati setakat ini, namun ia masih bergantung kepada kemampuan bajet semasa.
Sekiranya tidak mampu menampung kesemua lokasi, Wings akan memilih satu penjara di setiap negeri, dengan Penjara Kajang sebagai lokasi pertama.
Sebar Ketenangan
Awie turut menegaskan, niat utama mereka hanyalah untuk menyebarkan keceriaan dan semangat kepada mereka yang berada di balik tirai besi.
Dia juga berharap agar tiada pihak mempersoalkan keputusan Wings kerana misi ini bersifat kemanusiaan dan tidak bermotif komersial.
“Kami tidak memilih tempat untuk mengadakan persembahan. Ke mana sahaja kami akan pergi. Niat kami hanyalah untuk memberikan keriangan kepada mereka di dalam sana.
“Mereka hanya duduk di dalam sel dan tidak melihat apa yang berlaku di luar bertahun-tahun.
“Jadi, apalah salahnya kami memberikan sedikit hiburan agar mereka mendapat ketenangan dan ketenteraman,” katanya.
Menurut Awie, Wings juga bersedia menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di mana-mana sahaja, asalkan dapat menyampaikan mesej positif melalui muzik dan memperkuat semangat sesama insan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI