Kumpulan rock lagenda tanah air, Wings bakal menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan band tersebut pada tahun 2025.
Lantaran itu, vokalisnya yang juga merupakan pelakon terkenal, Datuk Awie meramalkan Wings hanya akan bergiat aktif selama 10 tahun sahaja lagi sebelum memutuskan untuk berehat atau bersara terus daripada industi muzik tempatan.
Katanya lagi, Wings juga ada merancang untuk mengadakan projek-projek istimewa sebagai buah tangan terakhir buat para peminat seperti konsert percuma dan filem biopik.
“Sasaran kami hanya 10 tahun sahaja lagi. Tak lama dah pun. Sekarang tinggal lagi sembilan tahun. Kalau dalam tempoh ini segalanya berjalan lancar, in sha Allah kami akan rancang satu per satu projek istimewa.
“Saya pun tak nak beriya-iya atau melompat-lompat lagi sampai umur 70 tahun. Kami nak berehat dan lihat anak membesar.
“Apa lagi nak dicari selepas tempoh itu? Rasanya tiada lagi. Buat persembahan sekali sekala mungkin boleh. Namun, tidak akan aktif lagi seperti sekarang. Tiada apa lagi yang nak dibuktikan,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Di Penjara Janji itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter baru-baru ini.
Selepas kejayaan di Singapura dan Kuala Lumpur, Wings bakal menggegarkan SPICE Arena Penang pada 24 Februari nanti.
Mengulas mengenai penganjuran konsert yang memasuki edisi ketiga itu, Awie memaklumkan Wings amat berbesar hati untuk memberikan lebih 700 hadiah kepada para penonton sebagai tanda menghargai jasa para ‘Sayap-Sayap Wing’ yang menunjukkan sokongan tanpa henti selama ini.
“Antara hadiah yang akan diberikan adalah seperti tiket penginapan hotel, barangan eksklusif Wings dan juga barangan kesayangan milik anggota Wings seperi gitar, kasut dan jaket.
“Jika melihat daripada sudut harga tiket serta peraduan gores dan menang, sebenarnya Wings nak memberi dan memulangkan semula kasih sayang kami kepada semua penyokong.
“Kalau ikutkan harga dan apa yang akan mereka dapatkan, ada sebahagian barangan pre-love itu lebih mahal harganya berbanding harga tiket yang dibeli.
“Ini lebih kepada memberi kerana kami sudah 39 tahun dalam industri dan tahun hadapan adalah ulang tahun ke-40. Kami nak berikan kepuasan.
“Ambillah harga tiket dan hadiah ini. Anda hanya perlu datang dan menang sahaja,” ujarnya lagi.
Tiket Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chaper telah dijual bermula pada harga RM95 (Free Seating/ Standing), RM155 (Rock Zone), RM158 (Rock Silver), RM188 (Rock Gold) dan RM258 hingga RM315 (VIP).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.