Anak kepada penyanyi, Azian Mazwan Sapuwan, menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi selepas kira-kira tiga minggu berada dalam keadaan koma, lapor Astro Gempak.
Difahamkan, Mohamad Aqil Zulkarnain meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi tadi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, Selangor.
Berita tersebut dimaklumkan penyanyi senior berkenaan, menerusi rakaman suara yang dikongsi kepada rakan media.
Malah, berita kematian arwah turut dikongsi menerusi Instagram miliknya.
“Anakanda saya Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh allahyarham anakanda di tempatkan di kalangan yg beriman.
Ya Allah..kuatkan aku,” tulisnya.
Allahyarham Mohamad Aqil sebelum ini dimasukkan ke hospital tersebut kerana terlibat dalam kemalangan pada 22 November lalu.
Dalam kemalangan terbabit, Mohamad Aqil dilapor mengalami kecederaan parah di bahagian abdomen serta beberapa organ dalam badan.
Disebabkan keadaan tersebut, Mohamad Aqil dibius dan diletakkan dalam keadaan koma untuk rawatan lanjut.
Azian yang sinonim menerusi lagu Rumah Kecil Tiang Seribu juga merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kedua.
Foto: Instagram Azian Mazwan Sapuwan