Tajul Ariff sudah tampil membuat pengakuan dengan mendedahkan dirinya sudah berkahwin dengan isteri, Nurul Shamieza Eddie, 23, pada 10 Disember 2017 lalu.
Menurut pemilik nama lengkap Tajul Ariff Noor Md Shari seperti yang dipetik mStar, antara sebab utama dia merahsiakan perkara berkenaan kerana bimbang akan kehilangan peminat ketika sedang membina nama dalam industri seni.
Pada masa sama bintang berusia 21 tahun ini juga enggan mencampuri urusan peribadi dengan kerjayanya.
“Ya, memang betul saya sudah berkahwin dengan Nurul Shamieza Eddie pada 10 Disember 2017. Salah satu sebab saya tidak berkongsi kerana ketika itu saya tengah bina nama, jadi takut hilang peminat.
“Selain itu, saya juga tidak mahu privasi keluarga saya diganggu dan tak nak netizen mula campur adukkan kehidupan peribadi dengan kerjaya seni saya.
“Tapi saya tiada niat untuk sorok atau menipu mana-mana pihak.
“Kalau ikutkan, seluruh keluarga saya, isteri serta pihak pengurusan dan rakan terdekat mengetahui perkara ini,” kata Tajul seperti yang dipetik mStar.
Terdahulu, status bintang berkenaan menjadi tanda tanya ramai dan beberapa hari lalu, portal berkenaan ada mendedahkan mengenai sekeping foto yang dihantar pembaca yang meminta penjelasan serta mendakwa wanita yang didakwa isteri kepada penyanyi itu kini sedang hamil.
Lalu, penyanyi berkenaan turut mengakui isterinya kini sedang hamil lapan bulan dan dijangka melahirkan cahaya mata pertama mereka hujung November depan.
“Memang betul isteri saya sedang mengandung dan kandungannya kini sudah memasuki lapan bulan. Dia dijangka akan melahirkan bayi sulung kami pada hujung November depan.
“Saya berharap semua peminat dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya, isteri dan bayi kami yang bakal lahir. Saya mohon maaf kepada peminat, sejujurnya saya tiada niat untuk menipu anda semua,” pinta Tajul.
Jun tahun lalu, kecoh di laman sosial apabila Tajul dikatakan mengaku dia sudah berkahwin dengan wanita bernama Nurul Syamieza Eddie.
Bagaimanapun, Tajul menafikan perkara berkenaan selain peminat agar tidak salah faham dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa sengaja.
Foto/Sumber: Instagram Tajul/mStar