Pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad yang difahamkan tampil berhijab bermula Maal Hijrah iaitu pada Selasa lalu memilih untuk menutup ruangan komen bagi perkongsian foto terkininya di Instagram.
Menerusi hantaran di platform berkenaan yang dikemaskini, Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohd Sharifuddin dirakam tampil sopan dengan menutup kepala dengan turban.
Lalu, pada ruangan kapsyen, Elizad menulis kata-kata berbentuk motivasi
“Slowly but surely,” tulisnya ringkas.
Bagaimanapun menerusi satu perkongsian yang dibuat pada Jumaat di Insta Stories, Elizad seolah-olah menjawab kritikan warganet berhubung penampilan terkininya itu.
“Allahuakhbar, Elok je ustaz, ustazah tinggalkan komen mendoakan lebih baik & istiqomah. Yg beberapa netijen nih, ADEEE JEEE TAK KENAAA.
“Ya, TAHU, belum sempurna. Jadi makasih di atas komen2, yg serba serbi x kena. Saje lah nak pesan…
“JANGAN MERASA DIRI KITA LEBIH BAIK DARIPADA ORANG LAIN (masih seperti dulu, bawak motor, positive, pokpekpokpek & suka nak berkawan!),” tulisnya.
Dia pada masa sama turut mengucapkan terima kasih atas komen yang diiringi dengan doa yang baik-baik.
“Makasih juga buat semua, yg komen dgn ucapan, doa & kata2 yg baik.
“Janganlah kamu menganggap diri kamu suci (orang baik) kerana Allah lah yang lebih mengetahui siapa yang benar-benar bertaqwa (Surah An-Najm, ayat 32),” tulisnya lagi.
Malah, bekas hos program Mingguan Wanita ini turut berkongsi beberapa foto daripada sejak hari pertama tampil sopan sehingga kini.
Foto: Instagram Siti Elizad