Tanggal 21 Ogos 2022 sememangnya merupakan tarikh keramat buat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini sudah genap setahun bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.
Antara yang turut tidak ketinggalan menitipkan ucapan tahniah termasuklah Presiden KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim.
Menurut Norman, sepanjang pemerinrahannya itu. Datuk Seri Sabri telah berjaya mewujudkan keharmonian di bukan sahaja dari kalangan pemimpin tetapi juga rakyat.
“Tahniah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob diatas ulang tahun pertama dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Sesungguhnya kepimpinan YAB Dato’ Sri telah mewujudkan keharmonian dikalangan pemimpin dan rakyat sekaligus menyediakan landasan baik bagi kebangkitan ekonomi dan kesejahteraan negara. Alhamdulillah,” tulisnya.
Ucapan penghargaan tersebut dikongsikan sendiri oleh salah seorang anggota kumpulan R&B popular, KRU itu menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Katanya lagi, Perdana Menteri juga amat menitikberatkan mengenai soal ekonomi dan kesejahteraan para rakyatnya.
Pada 21 Ogos tahun lalu, Ismail Sabri mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Memetik laporan Metro Online, memasuki tahun kedua pentadbirannya itu, Perdana Menteri memaklumkan masih banyak perkara yang perlu dilakukan demi kepentingan dan kebajikan Keluarga Malaysia termasuk dari aspek pendidikan.
“Sebagai Perdana Menteri, saya nak yang terbaik untuk rakyat. Banyak lagi kebajikan untuk rakyat dapat kita lakukan. Banyak lagi dasar baharu yang perlu kita buat, contohnya dari segi pendidikan.
“Harapan saya kita dapat mengorak ke depan dengan lebih baik untuk beri kebajikan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya seperti yang dipetik.
Semalam, lebih 7,000 jemaah telah hadir ke Masjid Putra, Putrajaya program Munajat Keluarga Malaysia.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu diadakan bagi meraikan ulang tahun pertama pentadbiran Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Acara munajat yang dipimpin pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid itu juga disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan TV AlHijrah bermula jam 9 malam.
Munajat Keluarga Malaysia dijalankan serentak di lima lokasi selain di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, iaitu di Kedah, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Norman KRU