Pelakon Reen Rahim ada berkongsi aktivitinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) yang bermula sejak beberapa hari lalu.
Bintang filem Town Mall ini memuat naik beberapa video, mengambil peluang untuk bersama-sama ibu dan bapanya untuk sama-sama membaca al-Quran.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian tersebut, para pengikutnya di Instagram terhibur dengan gelagat Reen yang dilihat takut-takut membaca ayat suci al-Quran sambil disemak ibunya yang disifatkan tegas.
Lebih menghiburkan, bapanya turut berdiri di belakang pelakon tersebut mengawasi anaknya sambil memegang penyangkut baju di dalam salah satu video yang dimuat naik.
“Korang jangan kasar mcm aku tau, sbb aku mmg lanun sikit kat rumah,” tulisnya bergurau menerusi paparan video yang sudah pun mendapat hampir 300,000 kali tontonan itu.
Lalu, perkongsian pelakon tersebut nyata mendapat reaksi pelbagai netizen yang antara lain turut memuji hubungan akrab serta aktiviti berfaedah yang dilakukannya sepanjang tempoh PKP kali ini.
Malah ada juga yang turut mengimbas pengalaman hampir sama bersama ibu ayah masing-masing.
Sekadar info, Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim mula bergiat aktif dalam dunia lakonan sejurus menjuarai program realiti, Pilih Kasih musim ketiga.
Foto: Instagram Reen Rahim