Hiburan

“Yang Dipukul Itu Anak Orang…, ” – Isu Dera Isteri Buat Hisyam Hamid Sensitif, Enggan Buat Adegan Pukul Dalam Drama

Share

Melakonkan watak suami yang jahat di dalam drama Andai Tiada Dia, aktor Hisyam Hamid tetap meletakkan batas dalam setiap babak yang dilakonkannya.

Menurut Hisyam, dia enggan malakonan adegan memukul atau mendera isteri kerana tidak mahu perbuatan tersebut dinormalisasikan dalam masyarakat.

“Walaupun watak Haikal ini sangat jahat terhadap isterinya namun, saya ada berbincang dengan pihak produksi untuk meletakkan batas.

“Dalam drama ini, penonton tidak akan melihat Haikal memukul atau mendera isteri. Saya sangat sensitif dengan perkara seperti ini terutamanya dalam hal melibatkan wanita.

“Saya sangat menjaga hal-hal seperti ini. Walaupun Haikal tidak mendera isteri, tapi orang masih benci dengan Haikal.

“Kita boleh sahaja buat drama untuk capai sesuatu mesej tanpa melakonkan adegan yang tidak perlu,” katanya kepada MH.

Pelakon asal Singapura itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran pakej terbaharu Astro One yang berlangsung di ibukota pada Isnin.

Pada masa sama, Hisyam turut menyelar tindakan segelintir lelaki yang sanggup menggunakan kekerasan terhadap isteri sendiri.

“Pada saya, sebagai ketua keluarga, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi keluarga sendiri terutamanya golongan wanita.

“Jangan ambil kesempatan terhadap mereka apatah lagi dengan memukul dan mencederakan fizikal.

“Bagi saya, lelaki yang lemah sahaja akan memukul wanita. Nak bandingkan dari segi kekuatan, memang wanita akan kalah. Jadi kenapa nak pukul?

“Tanggungjawab lelaki adalah untuk menjaga dan penuhi segala keperluan. Kalau nak pukul orang pun, cari lawan yang setaraf,” katanya lagi.

Pada masa sama, bapa kepada dua orang cahata mata ini turut menyeru kepada para suami untuk mengawal dan berfikir panjang sebelum melepaskan kemarahan terhadap pasangan.

“Pada saya, panas baran ini hanyalah permainan psikologi. Setiap lelaki pasti punyai ibu dan nenek. Bayangkan kalau mereka harus lalui penderaan. Sifat empati itu kena ada.

“Yang dipukul itu adalah anak kepada seseorang. Apa perasaan ibu dan nenek kita kalau tahu ada wanita diperlakukan sebegitu.

“Kalau seseorang itu ada masalah baran, carilah saluran lain untuk melepaskan kemarahan tersebut. Mungkin boleh berjumpa dengan pihak pakar,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Astro memperkenalkan Astro One, rangkaian tiga pakej hiburan yang dipermudahkan khas untuk isi rumah di Malaysia.

Bermula dengan hanya RM49.99, pakej utama seperti Entertainment Pack, Sports Pack dan Epic Pack menjadikan hiburan lebih mudah, fleksibel dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf