“Yang Komen Macam Tahu, Tanggunglah Dosa-Dosa Itu,” – Shuib Nafi Pernah Main Golf Dengan Watie Sebelum Kahwin, Ibu Turut Beri Komen

Share

Selepas melangsungkan majlis pernikahan pada tanggal 23 Jun lalu, pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu dan isteri, Watie Hanifiah kini sedang menikmati percutian bulan madu mereka di Pulau Langkawi, Kedah.

Pasangan pengantin baharu ini juga turut berkongsi momen-momen indah ketika di pulau tersebut buat tatapan para pengikut mereka di media sosial.

Malah, menerusi satu perkongsian di laman Instagram pada pagi Isnin, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad akui teruja apabila dapat bermain sukan kegemarannya, golf bersama isteri tercinta buat pertama kalinya.

Bagaimanapun, hantaran tersebut secara tiba-tiba menarik perhatian ramai selepas ada beberapa pihak yang mendakwa ini bukan kali pertama Shuib dan Watie meluangkan masa bermain golf bersama.

Malah, ada juga suara-suara nakal yang mengatakan mereka pernah melihat Shuib bermain golf bersama Watie sebelum arwah isterinya, Siti Sarah meninggal dunia.

Lantaran itu, menerusi satu hantaran di ruangan Instagram Stories, Shuib menafikan dakwaan tersebut selain turut menyifatkan ia bersifat fitnah.

“Assalamualaikum, saya sengaja buat kapsyen ‘buat pertama kali’ itu sebab memang pertama kali saya bermain golf dengan Watie.

“Jadi, kepada yang komen seakan macam tahu, tanggunglah dosa-dosa itu ye. Memang tidak ada dan inilah kali pertama kami bermain golf,” katanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Shuib, Salamiah Jalani turut mempertahan anaknya itu daripada tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

“Ya, mama tahu. Masa arwah masih ada, belum pernah sekali pun Manja (Watie) bermain golf dengan Shuib. Inilah baru nampak selepas sah bernikah,” katanya di ruangan komen.

Sementara itu, melihat di ruangan komen, rata-rata netizen mempersoalkan sikap segelintir pihak yang iri hati dengan kebahagiaan Shuib selepas mendirikan rumah tangga dengan Watie.

“Korang yang komen ni pun, janganlah mengecilkan hati. Anak-anak dia boleh baca ya. Hati-hati.

“Yang tidak sokong itu, mungkin diorang mahu Shuib terus bersedih dan murung. Come on, orang kahwin kot. Benda baik. Tak fahamlah dengan perangai toksik ini. Benda baik pun dibenci.

“Dia berkahwin dengan sesiapa pun itu urusan hidup dia. Sesiapa pun dia pilih, itu pilihan dia dan takdir Allah untuk dia. Bukan curang. Dia kahwin selepas kematian isteri. Famili juga restu dengan pilihan dia. Cukup-cukuplah mengecam.

“Hati-hati bila berkata. Segala yang kita taip akan ditanya di akhirat. Menegur jangan sampai menghina. Moga kita semua terpelihara,” antara komen-komen netizen di Instagram.

Terdahulu, Shuib telah selamat bergelar suami kepada Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah dengan hanya sekali lafaz dalam majlis yang berlangsung di Putra Glass House, Subang Jaya.

Sebelum ini, pelawak asal Johor Bahru itu mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011.

Bagaimanapun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan COVID-19 pada 9 Ogos 2021.

Mereka dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf