Penyanyi, penulis lagu dan penerbit, Yaph akui lebih selesa dengan penampilan misteri tanpa mendedahkan wajahnya kepada umum.
Menurut Yaph yang juga kata singkatan kepada ‘Yang Aku Panggil Hidup’, dia mahu orang ramai lebih menghargai karya muziknya berbanding identitinya sebagai seorang anak seni.
“Saya mula menceburi bidang muzik pada 2017. Pada ketika itu, saya memang tidak muncul di mana-mana dan hanya mempertaruhkan muzik saya sahaja.
“Bila saya ingin mengadakan konsert sulung, barulah saya tampil dengan imej wajah yang tidak didedahkan.
“Saya ingin membuktikan bahawa muzik ini boleh ke hadapan tanpa kita menunjukkan wajah atau menonjolkan diri.
“Ini bukan satu strategi pemasaran, memang saya lebih selesa berpenampilan sebegini,” katanya.
Yaph berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konset Yaph Danial Teman-Teman yang berlangsung di Ideas Hotel, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, penyanyi lagu Rehat Dan Rawat ini juga marakamkan penghargaan kepada peminat kerana menghormati identiti dan pendiriannya itu.
“Saya juga ingin tampil berbeza dengan penyanyi yang lain. Saya nak orang lebih menghargai karya seni saya.
“Setakat ini, semua peminat menghormati keputusan dan penampilan saya. Sama ada saya muncul atau tidak di khalayak, mereka masih nak dengar muzik saya.
“Saya juga nak menarik perhatian orang luar untuk turut mana meminati muzik saya. Bagi yang mengkritik, saya tidak mahu ambil tahu,” ulasnya lagi.
Jelasnya lagi, kebanyakkan muzik-muzik dihasilkannya lebih tertumpu kepada pengisian jiwa.
“Saya bermula dengan muzik Hip Hop tapi minat saya lebih kepada soul atau pengisian jiwa. Saya mahu hasilkan lagu-lagu penuh makna.
“Namun, saya juga ingin mencuba semua genre muzik tapi setakat ini fokus saya pada hip hop dulu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Yaph berkata meskipun dengan penampilan penuh misteri, dia yakin dapat menarik peminat ke konsert ketiganya bertempat di RCD Big Studio, Shah Alam, Selangor pada 26 Oktober depan.
Berpengalaman menjayakan konsert solo sebanyak dua kali, penyanyi, Yaph berkata konsert yang dianjurkan oleh Silent Set Entertainment itu akan menyaksikan lebih dari 20 artis yang pernah berkolaborasi bersama Yaph sebelum ini.
“Dua tahun kebelakangan ini saya sudah mengadakan dua konsert solo termasuk beberapa konsert jelajah di beberapa negeri dan alhamdulillah kesemuanya ‘full house’ dan kira-kira lebih 3,000 pengunjung hadir pada kesemua konsert.
“Kali ini saya ingin bawakan teman-teman seperjuangan saya dalam menghasilkan muzik yang sudah melebihi tujuh tahun ke konsert saya sebagai tanda menghargai mereka selain mewar-warkan kepada penyokong saya yang hadir pada malam itu, mereka inilah antara peneman perjalanan muzik saya,” katanya.
Katanya lagi. konsertnya itu juga akan menerapkan elemen tradisional bersama hip hop sebagai satu keunikan konsertnya.
“Konsert ini menjanjikan lebih dari 27 lagu yang menggabungkan irama hiphop moden dengan sentuhan muzik tradisional Malaysia.
“Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman muzik yang luar biasa, menghidupkan semula warisan budaya yang kaya dengan elemen-elemen kontemporari yang segar,” katanya yang turut mengakui konsertnya juga menerima dana daripada Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Venture Sdn Bhd.
Tiket sudah pun mula dijual bermula pada harga RM99 (Hening Malam), RM149 (Merayu Senja) dan RM249 (Menjelang Siang).
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini