“Yang Menonton Ikut Sama Rindui Mak Ayah,” – Wow! 4 Juta ‘Layan’ Episod Akhir Ayahanda

Share

Tahniah diucapkan buat drama bersiri inspirasi novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka karya Allahyarham Azizi Hj Abdullah A.M.N, Ayahanda berjaya mencapai 4 juta penonton di episod akhir yang bersiaran pada 31 Julai lalu, sumber dari Nielsen.

Gandingan mantap pelakon senior, Jalil Hamid dan Fauziah Ahmad Daud memberikan sentuhan magis pada watak suami isteri, Haji Abdullah dan Hajah Noriah yang berhadapan pelbagai konflik dengan anak-anak mereka iaitu Halimah, lakonan Noorkhiriah, Ramli (Shahz Jaszle), Ahmad (Hairi Safwan) dan Aziz (Fikry Ibrahim).

“Jalan cerita yang dipaparkan juga membuatkan penonton meruntun jiwa kerana kebanyakan orang sedang merindui orang tua dan ahli keluarga yang berjauhan dalam keadaan pandemik Covid-19.

Allahyarham Azizi Hj Abdullah merupakan penulis tersohor, penerima Anugerah S.E.A Write Awards 1988, dikurnia pingat Ahli Mangku Negara oleh Yang Dipertuan Agong dan Allahyarham juga merupakan penerima 7 kali Anugerah Hadiah Karya Sastera.

Penerbitnya, Fadzil Teh bersyukur dan berterima kasih kepada semua atas sambutan drama berkenaan.

“Ini merupakan satu penghargaan besar buat saya dan Zeel Production kerana dapat menerbitkan naskhah hebat ini, lebih-lebih lagi karya ini nukilan asal seorang Sasterawan yang disegani, Allahyarham Azizi Hj Abdullah.

“Saya bersyukur dengan penerimaan baik, respon dan pujian daripada penonton, rakan industri dan ramai pihak yang menonton drama ‘Ayahanda’ ini.

“Ayahanda ini naskhah yang istimewa dan ditayangkan pula pada saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang menonton ikut sama merindui mak, ayah dan keluarga mereka di kampung.

“Saya juga berasa bersyukur kerana drama ini berjaya menjentik emosi penonton dan mengingatkan penonton untuk selalu menghargai ibu bapa sementara mereka masih ada.

“Saya sendiri menangis menonton kerana rindukan arwah mak dan ayah saya. Semoga drama ini memberi teladan yang baik buat semua,” katanya sambil memberikan kredit kepada semua ‘team’ yang terlibat dalam penghasilan drama berkenaan.

Ayahanda diarahkan oleh Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, nukilan skrip oleh Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan.

Ayahanda mendapat tontonan baik, dengan mencatatkan 2.4 juta penonton secara purata selepas mula bersiaran pada 10 Julai 2021, setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9.00 malam.

Published by
MH