Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menafikan dia berdepan masalah nafas yang pendek ketika menyanyi sejurus disahkan positif COVID-19 sekitar tiga bulan lalu.
Jelas Siti, 43, meski sudah sihat, namun kesan terhadap masalah pernafasan itu sedikit sebanyak mengganggu kualiti nyanyiannya ketika membuat persembahan terutama apabila mengalunkan lagu bernada tinggi.
“Saya cuba untuk dapatkan balik semangat itu, dari awal mula latihan dari segi nyanyian dan sebagainya. Setakat ini alhamdulillah berbaloilah saya rasa. Yang penting suara saya tak hilang, itu sahaja.
“Daripada sesi ‘sound check’ dan latihan bersama pemuzik saya buat ‘all out’ sebab mahu kuatkan dada (pernafasan dan paru-paru). Memandangkan konsert berjalan selama dua jam, begitu juga ketika sesi latihannya.
“Alhamdulillah, saya mengharapkan itu sahaja. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik berkat sokongan semua,” katanya syukur.
Siti berkata demikian ketika ditemui sejurus Konsert Music of the Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza di Plenary Hall, KLCC, hari pertama, pada Sabtu.
Sementara itu, Siti yang disahkan menghidap Mild Bronchitis pada September lalu turut memberitahu dia kini perlu lebih menjaga pemakanan dan melakukan aktif sihat demi stamina.
“Bila menyanyi kita menggunakan pernafasan, terutamanya paru-paru. Sebab itulah untuk saya kalau alami batuk dan selesema saja pun dah teruk, perkara yang paling saya tak mahu kena.
“Apatah lagi bila diserang Covid-19, alami batuk berpanjangan. Gejala selepas itu, untuk saya sekiranya ambil makanan yang boleh menyebabkan batuk, memang malam saya seperti kena asma. Dia jadi begitu.
“Jadi memang betul-betul kena jaga. Sebab itulah ambil inisiatif dengan melakukan aktiviti sukan, misalnya Muay Thai demi mengembalikan stamina, termasuk pernafasan.
“Sebab selepas terjangkiti Covid-19, memang pernafasan saya pendek. Nak menyanyi, nak ‘tarik’ pun susah sangat. Terutamanya kalau penyanyi, kita punya aset adalah suara. Kalau paru-paru kita tak kuat memang akan vokal tak boleh nak capai tinggi.
“Sebab itulah saya berusaha untuk kembalikan balik ‘vocal range’ yang saya boleh capai dan sebagainya. Cuma ia akan ambil masa. Setakat ini alhamdulillah saya dapat rasakan perubahan selepas melakukan latihan dan aktiviti sihat.
“Malah Aubrey pun ada cakap keadaan saya semakin baik berbanding sebelumnya. Kiranya ia lebih baik daripada persembahan saya yang terdahulu. Kalau kita susah nak tarik nafas untuk lontarkan vokal tinggi, memang ‘pitching’ pun akan ‘huru-hara, ‘shaking’ dan sebagainya,” kata Siti lagi.
Terdahulu, Konsert Music of the Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dibawakan oleh Yayasan Nurjiwa ini menyaksikan Siti menyanyikan kira-kita 20 buah lagu popularnya sejak berkecimpung dalam dunia seni lebih dua dekad lalu.
Menariknya, Siti turut menampilkan Datuk Awie sebagai jemputan sekaligus mereka tampil berduet bagi lagi Baldu Biru dan pantun budi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini