“Yang Sayang Saya Tu Ramai, Walaupun…,” – Menyanyi Di Majlis Kahwin Bawah Khemah, Imran Ajmain Tak Kisah

Share

Penyanyi, Imran Ajmain mendedahkan dirinya langsung tidak mempunyai masalah untuk memenuhi sebarang jemputan persembahan walaupun di majlis-majlis perkahwinan yang diadakan secara sederhana.

Menurut Imran, sebagai menghargai jasa peminat yang selama ini telah menyokongnya, dia jarang menolak untuk menghadiri apa sahaja jenis jemputan.

“Sebenarnya memang ada artis yang tidak mahu menyanyi di majlis perkahwinan yang diadakan di bawah khemah. Saya sendiri banyak terima undangan yang sebenarnya saya bukan pilihan pertama.

“Bila mereka cerita kepada saya yang ada artis ni tak dapat datang, tapi saya rasa artis tersebut tak nak datang sebab keadaan majlisnya tidak ‘grand’ atau bayaran yang ditawarkan itu tidak semegah yang disangka.

“Bagi saya pula, bila kita dapat sesuatu rezeki itu, saya jarang mengatakan tidak. Yang sayang saya tu ramai. Walaupun saya tak popular tapi saya tahu kepuasan itu masih ada.

“Saya masih lagi dapat pulanganya terutamanya dari segi perhatian yang diberikan. Itu sudah mencukupi,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu, Seribu Tahun itu berkata sedemikan dalam satu temuramahnya bersama MH baru-baru ini.

Dalam pada itu, Imran turut memaklumkan dia sebenarnya aktif mengadakan konsert jelajah disetiap negeri yang diuruskan sepenuhnya oleh dirinya sendiri.

“Disebabkan saya tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman besar, saya mulakan sendiri jelajah saya pada tahun 2011. Segalanya saya buat sendiri.

“Saya sendiri yang mencari kafe-kafe dari Melaka sampailah ke Sabah dan Sarawak. Semuanya saya uruskan sendiri. Sejak dari itu, baru saya sedar yang kita boleh anjurkan show sendiri. Tak perlu tunggu orang jemput atau pelawa.

“Meskipun kejayaan konsert tersebut hanya kecil, tapi saya dapat rasa apa yang peminat suka.

“Bila saya hebahkan di seluruh platform media sosial, ramai artis yang bertanya siapa penganjurnya? Bila saya cakap saya buat sendiri mereka tak percaya sebab buat konsert ni bukan mudah,” kongsinya lagi.

Tambahnya lagi, perhatian yang diberikan oleh peminat sangat berbeza jika ingin dibandingkan ketika dia membuat persembahan di majlis-majlis korporat.

“Pada 2018, saya buat persembahan di 25 tempat di setiap negeri. Berbeza pula dengan persembahan corporate dan sebagainya. Meskipun saya dibayar untuk menyanyikan dua atau tiga buah lagu, yang datang hanya dua tiga orang yang mendekati kita.

“Yang lain mereka hanya akan makan sebab mereka tak tahu pun kita ada di situ. Tapi bila kita buat event yang saya adalah star of the show, mereka datang khusus untuk kita.

“Perhatian yang mereka berikan amat tinggi. Malah, pulangan yang saya dapat juga jauh lagi tinggi. Usaha yang saya buat ni dapat sedikit sebanyak memanjangkan jangka hayat saya sebagai seorang penyanyi,” akhirinya.

Terdahulu, selain aktif menyanyi, Imran yang kini sudah pun bergelar warganegara Malaysia turut dikhabarkan sibuk menguruskan bisnes agensi kreatif miliknya sendiri.

Agensi tersebut memberi fokus kepada khidmat penghasilan video, foto, seni reka grafik dan pengurusan sosial media.

Published by
Aizam Manaf