“Yang Terjadi Antara Saya Dengan Dia Sahaja, Tak Ada Kena Mengena Dengan Keluarga,” – Aishah Azman Selepas Hampir Sebulan Putus Tunang Dengan Syafie Naswip

Share

Pelakon Aishah Azman tidak mahu keluarganya turut dikaitkan dengan permasalahan yang terjadi antaranya bersama dan bekas tunang, Syafie Naswip.

Malah ujar Aishah, apa yang berlaku sebelumnya hanya di antara mereka berdua dan keluarga tiada kena-mengena.

“Saya tak mahu keluarga saya dibabitkan dengan perkara ini. Semua yang terjadi antara saya dengan dia sahaja, tak ada kena mengena dengan keluarga saya.

“Orang luar boleh berkata apa yang mereka mahu katakan, tetapi mereka tidak mengetahui apa sebenarnya terjadi,” jelas Aishah.

Terdahulu, bintang muda ini ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sangkar di e@Curve, Damansara, pada Rabu.

Tidak mahu melihat ke belakang, Aishah kini optimis untuk hanya beri fokus kepada kerjaya selepas terpalit dengan kisah sensasi melibatkan dirinya, bulan lalu.

“Selepas berdepan dengan segala perkara ini, saya lebih selesa untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya mahu fokus kepada bidang hiburan,  ingin memberikan tumpuan terhadap lakonan dan sibuk seperti sediakala,” katanya lagi.

Bagaimanapun, temu bual bersama Aishah terhenti selepas tangannya ditarik si abang, pelakon Afiq Muiz yang turut berada di sisi Aishah ketika sesi berlangsung.

Sebelum ini, dunia hiburan dihebohkan dengan berita mengenai seorang pelakon lelaki yang ditahan polis selepas didakwa telah mengasari bekas tunangnya kerana berang apabila wanita itu memintanya agar memutuskan hubungan songsang bersama kenalan, 26 Jun lalu.

Lalu serentak dengan laporan tersebut, netizen mulai membuat spekulasi dengan mendakwa Syafie merupakan individu yang dimaksudkan memandangkan pelakon filem Mukhsin itu baru saja putus tunang dengan Aishah.

Sekadar imbasan, Syafie dan Aishah bertunang pada satu majlis yang diadakan pada 7 April 2019 bertempat di Forest Valley Hall, Cheras sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk putus.

Foto: Instagram Aishah Azman

Published by
Rafiq Mazlan