Yasmin Hani Berpisah Dengan Shaarin Razali, Bersetuju Mulakan Perjalanan Baru Berasingan

Share

Pelakon Yasmin Hani akhirnya meleraikan spekulasi mengenai perkahwinannya apabila pengacara dan pelakon itu mengesahkan perpisahan bersama suami, Shaarin Razali.

Perkara tersebut dimaklumkan mereka di Instagram, petang Jumaat.

Bagaimanapun ibu kepada dua cahaya mata itu tidak berkongsi butiran lanjut mengenai perpisahan mereka, sebaliknya mendoakan yang baik-baik demi anak-anak.

“Kami berdua bersetuju akan memulakan perjalanan baru secara berasingan dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

“Kami juga bersetuju untuk kekal bersepakat dalam membesarkan kedua-dua anak kesayangan kami dalam ruang yang penuh dengan kasih sayang dan toleransi,” jelasnya.

Pelakon drama Hotel itu juga berharap pengertian yang baik daripada semua pihak, sekaligus dapat memberi ruang dan menghormati keputusan dibuat.

“Semua ini demi kesejahteraan keluarga dan anak-anak kami. Saya juga mahu ucapkan terima kasih buat semua yang menitipkan kata positif dan doa.

“Walaupun memilih untuk berpisah, kami akan terus menjadi sebuah keluarga penyayang. Malah perpisahan ini buat kami jadi lebih rapat.

“Kami masih rapat kerana Noah dan Eissa, tetap menjadi ibu bapa kepada mereka berdua. Moga ruang privasi ini juga akan terus dihormati.

“Sama sama kita menyebarkan aura positif. Alhamdulillah kami okey dan pandang ke hadapan,” katanya lagi.

Yasmin dan bekas pemain dram Blackrose itu mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 8, dan Eissa Elzander Wong, 5.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
MH