Berita

Yayasan Nurjiwa Terima RM500,000 Bantu G*za, Siti Nurhaliza – “Kami Sentiasa Memastikan Penyumbang Tahu Ke Mana Sumbangan Disalurkan.”

Share

Inayah Beauty bermurah hati dengan menghulurkan bantuan murni bagi membantu keluarga di Gaza, Palestin, melalui sumbangan RM500,000 kepada Yayasan Nurjiwa.

Sumbangan ini akan disalurkan kepada 2,500 keluarga yang memerlukan, sebagai tanda dedikasi syarikat dalam usaha kemanusiaan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi, menjelaskan, keyakinan terhadap Yayasan Nurjiwa dan reputasi pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, adalah faktor utama dalam keputusan mereka.

“Kerjasama dengan Yayasan Nurjiwa memberikan kami keyakinan kerana integriti dan kebolehpercayaan mereka.

“Reputasi Siti yang telus memudahkan kami untuk menyalurkan sumbangan dengan yakin bahawa ia akan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

“Tahun lalu, kami berjaya mengumpul RM300,000 untuk disumbangkan bagi membantu penduduk di Gaza.

“Tahun ini, jumlah sumbangan bertambah kepada RM500,000 dan daripada apa yang diberitahu, ini bagi membantu 2,500 keluarga di sana,” ujarnya.

Tambah Dini, usaha ini bukan hanya dianggap keperluan segera tetapi juga bertujuan untuk membina satu tradisi tahunan yang menyeluruh.

Sementara itu, Siti Nurhaliza pula menegaskan bahawa ketelusan adalah kunci setiap sumbangan yang diterima.

“Kami sentiasa memastikan penyumbang mengetahui ke mana sumbangan mereka disalurkan.

“Dengan itu, kami berkongsi aktiviti-aktiviti di media sosial supaya mereka dapat menjejaki bantuan yang diberikan, termasuk sumbangan makanan kepada anak-anak yatim,” kata Siti.

Selain membantu penduduk Gaza, Siti juga menegaskan komitmen Yayasan Nurjiwa dalam membantu rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Kami memberi keutamaan kepada saudara kita di tanah air yang sedang menghadapi kesukaran,” katanya lagi.  

Pada majlis sama, ia turut dihadiri barisan wajah wakilan Inayah Beauty seperti Fasha Sandha, Nora Danish, dan Abby Abadi.

Bagi Fasha, usaha seperti ini membuka mata saya terhadap pentingnya sokongan kepada masyarakat dan perkara sama turut diperakui rakan artis terlibat.

Dengan komitmen yang jelas dan kolaborasi strategik, Inayah Beauty dan Yayasan Nurjiwa terus memainkan peranan penting dalam misi kemanusiaan.

Ia khusus bagi memberikan harapan kepada ribuan keluarga dan mendorong semangat dermawan dalam setiap pihak yang terlibat.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH