Penyanyi Singapura, Yazid Lovehunters diumumkan sebagai peserta yang tersingkir menerusi saingan minggu ke lima program realiti popular, Gegar Vaganza (GV11), malam tadi.
Yazid yang mempersembahkan lagu Doa Buat Kekasih duet bersama Ruhil Amani Hussin, gagal memikat hati barisan juri dan hanya meraih markah paling rendah iaitu sebanyak 57.60%.
“Saya lebih suka suara awak sendiri, lebih natural. Jadi pada saya tak perlu masukkan roh siapa-siapa, ada sedikit laid back, it’s a feel good performance,” antara komen yang diberikan juri. Datuk Syafinaz Selamat.
Dua peserta lain yang turut berada dalam kedudukan tiga paling bawah ialah Reshmonu (duet bersama Amelina) dan Arrora Salwa (duet bersama Hady Mirza) masing-masing dengan 58.50% dan 57.70% markah.
Sementara itu, Sheila Abdul yang berpadu suara dengan Jaclyn Victor menerusi lagu popular Ernie Zakri, Ku Bersuara pula sukses berada di kedudukan pertama minggu ini dengan peratusan sebanyak 79.10%.
Ini dia kedudukan markah semua peserta yang masih bersaing di dalam minggu kelima GV11;
Foto: Azrul Rafie