Pelakon Liyana Jasmay mendedahkan, dia juga turut pernah mengalami situasi berdepan dengan kritikan berunsurkan ‘body shaming’ ketika zaman remajanya.

Malah lebih teruk, bintang filem Khurafat itu, dia pernah dituduh hisap dadah gara-gara kelihatan sangat kurus.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini, sehingga kini dia masih ingat akan situasi yang berlaku.

“Kisahnya, ketika sebelum saya berkahwin saya ada promosi satu filem. Barisan pelakon filem tersebut kebanyakannya perempuan dan saya yang paling kurus antara mereka.

“Tiba-tiba ada seorang ni datang kat saya dia cakap ‘eh you hisap dadah ke?’. Terus saya terkedu.

“Mungkin bagi sesetengah orang, ada yang anggap ia kelakar tapi sebenarnya tidak. Perkataan dadah adalah satu perkataan yang sangat berat.

“Cuba awak bayangkan orang tu cakap dekat saya ketika saya umur 19 tahun. Boleh bayangkan tak impak dia macam mana?” Luahnya.

Lalu, bintang ini berpendapat perkara sedemikian tidak seharusnya dijadikan sebagai bahan lawak.

“So saya rasa tak perlu nak buat lawak benda-benda yang macam ni lah.

Tak kisah anda pelawak atau tidak, ia tak perlu nak jadikan ‘body shaming’ sebagai bahan. Tak bagus sebenarnya,” kongsi Liyana kepada MH.

Terdahulu, penyanyi Aku Tak Percaya Cinfa ini ditemui MH ketika sidang media program All Stars Buka Panggung yang berlangsung di Nicsmann, The Starling Mall, Damansara Utama, pada Selasa.

Selain Liyana, pentas komedi tersebut bakal turut dipersembahkan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Aaron Aziz, Datin Seri Umie Aida, Datin Diana Danielle, Rita Rudaini, Fahrin Ahmad, Izzue Islam, Ruhainies dan ramai lagi.

Program komedi All Stars Buka Panggung akan ditayangkan pada 6 September depan di saluran Astro Warna (CH132) dan Astro Warna HD (CH124).

Foto: Instagram Liyana Jasmay