Bergandingan buat pertama kali dengan Yusuf Bahrin menerusi drama Jesnita, pelakon Intan Najuwa menghormati pendirian aktor itu yang meletakkan batasan tidak bersentuhan dengan mana-mana pelakon wanita.
Menurut Intan atau nama sebenar, Intan Najuwa Abdul Wahid, 25, perkara itu tidak menimbulkan masalah buatnya untuk mencipta keserasian bersama Yusuf di set penggambaran.
“Bab yang itu saya hormat hak masing-masing, kalau Yusuf tak bagi pegang, saya okay dan hormat dengan pendirian dia.
“Saya terus letakkan dalam kepala dan tahu nak buat macam mana.
“Saya dah berlakon dengan banyak hero lain, jadi untuk cipta keserasian dengan Yusuf tiada masalah walaupun drama ini ada tiga hero sebenarnya,” katanya kepada MH.
Intan ditemui pada majlis pratonton episod 1 drama terbaharu terbitan Zeel Production, Jesnita yang diadakan di TGV Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Memegang watak utama sebagai Jesnita, Intan berkata dia mengambil cabaran untuk keluar daripada watak zon selesa yang selalu dibawakannya kerana ingin melihat kemampuannya menjayakan watak ‘gelap’.
“Saya mahu keluar dari zon yang selalu bawa watak komedi, romantik, wanita lemah dan ditindas.
“Kali ini saya jadi wanita yang kuat dan sanggup lakukan apa sahaja untuk hidup senang,” katanya lagi.
Selain Intan dan Yusuf, Jesnita turut dibintangi Nasha Aziz, Malik Mccrone, Fikry Ibrahim dan Lydiawati.
Drama arahan Emi Suffian itu akan ditayangkan di Astro Prima mulai 7 November ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.