Selepas beberapa bulan menyulam cinta, pelakon Zahirah MacWilson dan Aiman Hakim Ridza akhirnya sepakat mengikat tali pertunangan Jun lalu dan minggu lalu, pasangan sama cantik sama padan ini mengumumkan keduanya akan disatukan sebagai suami isteri Februari depan.
Meski masih belum memilih tarikh penuhnya, namun perkahwinan yang bakal dirai dalam kehangatan bulan cinta itu pastinya akan menjadi momen manis untuk dikenang.
Singkap kembali momen cinta yang baru terjalin pula, Aiman secara jujur mendedahkan pelakon cantik itu terlebih dahulu menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApps.
“Dia susah nak dapat okay, dia buat ‘dek’ je pada saya. Mulanya saya teks dia biasa-biasa saja memandangkan dia sendiri bukan tak pernah kenal tapi tidak mengapalah,” kata Zahirah berterus-terang.
Bagaimanapun, Aiman yang berada di sisi pada sesi temu bual bersama media pula menjelaskan, dia sebetulnya menyedari pelakon cantik itu ada menghantarkan pesanan, tetapi dia seakan-akan tidak percaya.
“Saya dah sedar tapi dalam hati kata dia ni biar betul, ingatkan kena tipu sebab tiba-tiba saja teks yang dihantar itu hilang.
“Kemudian dia ada teks saya lagi ketika saya ke Amsterdam. Ia pun sama juga, 10 kali saya tengok teks tu untuk pastikan betul atau tidak,” seloroh Aiman.
“Saya tanya dia sama ada dia berminat atau tidak untuk berlakon sama dalam Curi-Curi Cinta,” balas Zahirah pula.
Menafikan cinta yang mekar bermula dengan cinta lokasi, pasangan ini juga turut memaklumkan mereka sudah pun bergelar pasangan kekasih sebelum drama rantaian itu memulakan penggambaran lagi.
Ikuti sidang media penuhnya;
Foto: Instagram Zahirah MacWilson