“Zaman Kegemilangan Duet Dengan Arwah Achik Tiada Gantinya Sampai Sekarang,” – Siti Nordiana

Share

Penyanyi, Siti Nordiana mengakui hingga kini, tiada mana-mana penyanyi lelaki yang boleh menggantikan rakan duetnya, Allahyarham Achik Spin.

Penyanyi Hatiku Milikmu itu menyatakan pendapat tersebut menerusi program GIG Siti Nordiana siaran TV1.

“Zaman kegemilangan duet dengan arwah Achik tiada gantinya sampai sekarang memandangkan kami ada peminat dan pengikut tersendiri.

“Meski saya cuba duet dengan mana-mana artis lelaki lain, ia masih tidak boleh sama. Misalnya dengan Khai Bahar, Lan Solo atau Alif Satar. Mereka masing-masing punyai genre sendiri.

“Jadi tiada peminat yang membandingkan. Arwah sudah sedia ada dalam hati peminat saya dan dia,” katanya seperti yang dipetik.

Ditanya di antara ketiga-tiga bintang tersebut mana satu yang dirasakan paling sesuai berduet dengannya, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana memberitahu, Khai Bahar merupakan penyanyi lelaki paling sesuai.

“Rasanya yang betul-betul sesuai, ialah Khai. Dia boleh dan mampu nyanyikan semua lagu duet saya dan arwah. Malah tone dan lagu-lagunya yang mendayu-dayu tu sesuai dengan muzik saya juga,” kongsi Nana.

Terdahulu, pasangan duet Nana dan Allahyarham Achik dari kumpulan Spin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya lebih sembilan tahun lalu.

Antara lagu duet yang sinonim dengan keduanya seperti Paling Comel, Gurauan Berkasih dan banyak lagi.

Dalam perkembangan lain, Nana kini sedang giat berlatih vokal bagi bersaing di Anugerah Juara Lagu ke-33 minggu hadapan bersama Jaclyn Victor menerusi lagu Nisan Cinta.

Foto: Instagram Siti Nordiana

 

Published by
Rafiq Mazlan