Biarpun bakat baru datang silih berganti, namun kepercayaan peminat terhadap pelakon berkarisma, Zamarul Hisyam tidak pernah berkurangan, sebaliknya terus mencuri perhatian menerusi maklum balas yang diberikan kepada kerja-kerja lakonannya.
Terharu dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya, Zamarul mengakui tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan dunia lakonan yang menjadi minatnya sejak sekian lama.
“Dulu pernah juga saya terfikir untuk memperlahankan kerjaya lakonan dengan memberikan tumpuan kepada perkara lain yang menjadi keutamaan saya ketika itu.
“Namun setiap kali saya terlintas begitu, ada sahaja tawaran yang masuk dan memberikan saya peluang-peluang yang saya belum pernah buat sebelum itu.
“Situasi sebegitulah yang akhirnya mengikat saya untuk terus berlakon dan melakukan perkara-perkara yang sememangnya saya suka dalam bidang seni ini,” katanya yang mula dikenali menerusi penampilannya dalam VCD Blok 404, lebih 16 tahun lalu.
Biarpun sudah menginjak ke usia 46 tahun, Zamarul disifatkan sebagai bertuah kerana masih lagi diberi tawaran untuk menjayakan watak utama dengan kepelbagaian karakter berbanding pelakon-pelakon seangkatannya yang terikat dengan watak terhad sebagai bapa sehaja.
Tahun lalu, dia juga tampil dengan watak utama bergandingan bersama Izara Aishah menerusi drama 24 episod, Masam Manis yang telah mencatat rating cukup tinggi sepanjang tempoh siarannya
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka masih diberi kepercayaan untuk menjayakan watak sebagai hero, sedangkan kalau nak ikutkan sekarang ini terlalu ramai pelakon baru yang menjadi perhatian di luar sana.
“Sebenarnya sudah menjadi prinsip saya, tidak kira watak utama atau pun sebaliknya apabila sudah bersetuju untuk melakukan tugasan itu saya akan pastikan untuk memberikan yang terbaik.
“Jadi biarpun sudah diketegorikan sebagai pelakon senior, saya tetap mengamalkan cara kerja saya sebagaimana awal bergelar pelakon dulu iaitu sentiasa buat homework dan tidak mengambil mudah dengan setiap tugasan yang diberikan,” katanya.
Mengakui tidak kisah diberikan watak sebagai bapa atau lelaki matang, Zamarul bagaimanapun mempunyai syaratnya yang tersendiri dalam hal ini.
“Memang tidak tidak logiklah kalau dalam usia yang begini saya masih mengharapkan agar diberikan watak sebagai lelaki muda bujang yang bercinta sana sini, sedangkan wajah dan fizikal saya sendiri tidak menggambarkan keadaan itu.
“Saya tidak ada masalah, malah tidak menolak untuk bawa watak sebagai bapa atau apa pun watak asalkan ceritanya bagus dan watak tersebut mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam cerita itu dan bukannya sekadar melengkapkan cerita sahaja.
“Namun untuk watak bapa, saya letakkan syarat untuk hanya menerima watak bapa untuk anak-anak yang kecil atau remaja sahaja agar ia nampak realistik dan tidak janggal di mata penonton berbanding beberapa situasi yang saya lihat sekarang di mana watak bapa dan anak sudah seperti adik-beradik, ” katanya yang kecewa dengan sikap kurang peka pihak yang terbabit dalam soal ini.
Lari dari soal kerjaya, Zamarul yang juga suami kepada pelakon Diana Rafar ini mengakui cukup tenang dengan kehidupannya hari ini.
Bakal menimang cahaya mata kedua menerusi perkahwinannya dengan Diana selain dua anak dari perkahwinannya yang terdahulu, Zamarul mengharapkan agar dia dapat menjadi suami dan bapa yang terbaik buat anak-anaknya.
“Kesibukan kerja tidak pernah menjadi sebab untuk saya mengabaikan mereka kerana sebagai ketua dalam rumah tangga saya sentiasa memastikan agar kami sama-sama melalui kehidupan yang baik dan sempurna.
“Menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anak yang sedang meningkat remaja bukanlah satu perkara yang mudah di mana saya perlu sentiasa mengawasi dan memahami keadaan mereka.
“Mungkin kerana itulah saya lebih suka berada di rumah dan meluangkan masa bersama anak dan isteri berbanding sibuk dengan pelbagai aktiviti di luar,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan barangan Helifan bersama isteri.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI