Berseri-seri Zara Zya sekarang! Pernah menemani usahawan kosmetik Dato’ Alha Alfa ke majlis berprestij hingga nama Zara Zya sering dikaitkan dengan selebriti dan ahli perniagaan lelaki terkenal itu dek kerana statusnya yang masih bujang.
Cukup disiplin sebagai pelakon dan menjiwai watak yang diberikan sebaik mungkin, tidak hairanlah nama Zara Zya makin melonjak nai Malah, figura ini bukan saja dikagumi kerana bakat, tetapi kecantikan Zara turut menjadi bualan peminat.
Walau kerap mengenakan solekan tebal setiap kali menjalani penggambaran namun aktres berbakat besar ini cukup prihatin menjaga kesihatan kulit.
Bersandarkan status selebriti, Zara perlu sentiasa tampil kemas dan menarik di hadapan khalayak. Lebih-lebih lagi sejak berhijab, penampilannya menarik tumpuan ramai.
Ditemui dalam sesi fotografi bersama MH tidak lama dulu, Zara tanpa berselindung mendedahkan rejim kecantikan diri.
Apa yang mengejutkan adalah petua cantik anak seni ini rupa-rupanya ringkas, selamat dan murah.
Maklumlah, bila sebut sahaja artis mesti ramai yang beranggapan golongan ini hanya menggunakan produk berjenama dan mahal.
Bercerita tentang produk penjagaan wajah yang mahal, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin mengakui pernah menggunakan set penjagaan wajah bernilai ribuan ringgit namun kesannya tidak seperti yang diharapkan.
“Ya, saya pernah habis sampai lebih seribu ringgit beli set produk jenama antarabangsa tapi sayangnya tak berkesan dengan keadaan kulit saya. Sudahnya, terpaksa berhenti guna set ini.
Mujur mama saya rajin kongsi petua tradisi. Jadi saya amalkan apa yang mama ajar. Tak perlu susah-susah pun sebab guna barang seperti buah-buahan dan beras saja. Salah satu petua mama ialah kisar buah tomato dan letak yogurt asli.
Bila muka nampak kusam dan badan penat sangat, sapu kisaran tomato dan yogurt ini dekat muka untuk dijadikan sebagai mask.
Petua ini bagus untuk jeragat sebab mama memang ada masalah jeragat yang banyak. Macam-macam rawatan mama buat termasuk laser tapi tetap tak hilang. Alhamdulillah lepas dia amalkan petua buah tomato dan yogurt ini, jeragat mama berkurangan.
Satu lagi tip cantik yang selalu saya buat ialah menggunakan beras pulut. Caranya, beras pulut disangai dan dikisar sampai halus. Boleh digunakan sebagai skrub badan. Memang inilah yang saya buat dari dulu lagi.
Hendak lagi berkesan, beras pulut tadi dicampur dengan madu atau minyak zaitun,” ujar pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian di Anugerah Skrin 2019 ini.
Selain sibuk dengan urusan seni dan bisnes, Zara juga antara selebriti yang aktif menyertai misi kebajikan dalam meringankan beban masyarakat kurang bernasib baik.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Majalah NONA
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Sumber: Instagram @zarazya