Categories: Uncategorized

Zarul Teringat Raya Sebagai Pramugara

Share

Setiap kali menjelang hari raya pasti ramai yang sibuk untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut lebaran yang bakal tiba bersama keluarga tercinta.

Penyanyi dan kini pelakon, Zarul Umbrella atau kini lebih dikenal dengan nama Zarul Husin berkata sejak ayah dan ibunya telah tiada, dia dan adik-beradiknya yang lain hanya beraya di Kuala Lumpur.

Bagi Zarul, terlalu banyak kenangan di rumah pusaka kedua orang tuanya itu sehingga menyebabkan perasaan rindu untuk menjenguk kampung halaman semakin kuat.

“Bila teringat rumah kampung, memang kenangan waktu kanak-kanak menggamit ingatan di mana kemeriahan beraya bersama keluarga ketika itu sangat luar biasa sehingga ia sukar untuk dipadamkan dari ingatan.

 

“Jadi saya harap Aidilfitri pada tahun ini lebih manis apatah lagi kami sekeluarga dapat jenguk sanak-saudara yang masih ada di sana, selain kembali merasai suasana kampung,” katanya.

Terdahulu, Zarul merupakan seorang pramugara dan dia berkata, sesekali akan terdetik perasaan rindu dengan kerjayanya yang lalu.

“Tipulah kalau saya kata tak teringat langsung dengan kerjaya saya di awan biru kerana bukan setahun dua, sebaliknya lebih 17 tahun bertugas dalam bidang itu.

 

“Namun saya percaya setiap perubahan atau penghijrahan yang kita lakukan itu pasti beri sesesuatu yang lebih baik untuk kita,” katanya.

Bagi Zarul, kebaikan yang dimaksudkan adalah tahun ini merupakan kali pertama buat dirinya dapat bercuti panjang untuk meraikan Aidilfitri setelah sekian lama tidak dapat beraya dengan sempurna bersama keluarga.

“Sebelum ini, susah sangat nak dapat cuti raya, percaya atau tidak, sepanjang 17 tahun bertugas sebagai pramugara, hanya pada tahun ke-11 saya dapat cuti raya pertama itu pun sehari dua.

 

“Jadi bila tahun ini saya dapat cuti panjang, banyak perancangan nak dibuat bersama keluarga termasuk balik Kelantan,” jelasnya.

Pasti meriah lebaran tahun ini buat Zarul kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga untuk meraikan Aidilfitri yang hadir cuma setahun sekali ini.

Sumber: Sinar Harian

[su_heading]Untuk perkongsian berita selebriti dan pengiklanan, boleh emelkan kepada editor.media@karangkraf.com atau hubungi 03-5101 7322. Ikuti kami juga di Facebook› Media Hiburan * Instagram› mediahiburanofficial * Youtube› Media Hiburan Official[/su_heading]

Published by
Izzati Ramli