Penyanyi Ziana Zain sempat berseloroh dirinya tidak boleh tidur malam kerana memikirkan perjalanan konsertnya, Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
“Saya tak boleh tidur lena dalam seminggu ini memikirkan perjalanan konsert,” katanya sambil menerima sorakan kira-kira 2,800 penonton.
Konsert yang berlangsung pada jam 9 malam itu bermula dengan persembahan duet pasangan adik-beradik popular itu menerusi lagu Sangkar Cinta dan Bila Resah yang dibawakan secara medley.
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan lagu-lagu hits Ziana dan Anuar yang diselangi dengan coleteh mencuit hati mengenai kisah perjalan seni masing-masing.
Antara lagu popular yang dipersembahkan Ziana adalah Puncak Kasih, Terlerai Kasih, Menadah Gerimis, Anggapanmu dan Madah Berhelah.
Sementara Anuar pula menghiburkan peminat dengan lagu-lagu popularnya seperti Ketelusan Hati, Mungkin, Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.
Memberikan kelainan di dalam persembahan, penonton turut berpeluang menyaksikan mereka menyanyi secara duet menerusi lagu Sesuci Cinta Mu, Lembah Asmara dan Di Akhir Garisan.
Malam penuh bersejarah itu turut menyaksikan gabungan kali pertama mereka dalam sebuah konsert di Kuala Lumpur.
“Akhirnya kita disatukan di Kuala Lumpur. Kali pertama konsert kami pada tahun 2010 di Singapura,” kata Ziana.
Terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat, Anuar bersyukur apabila mereka sanggup meluangkan masa menghadiri konsert pada malam ini.
“Anda boleh pergi ke mana-mana, tapi anda pilih untuk berada di sini. Terima kasih kerana beri aura yang positif.
“Saya tak sangka masih lagi mendapat sokongan yang begitu kuat daripada anda semua,” kata Anuar yang sebak dengan respons yang diterima sehingga kini.
Pada konsert berkenaan, terdapat peminat yang gagal menahan air mata sebaik melihat artis pujaan mereka membuat persembahan.
Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu menyaksikan kehadiran rakan-rakan selebriti yang memberikan sokongan.
Antaranya ialah Misha Omar, Dafi, Datuk A Aida, Scha Al Yahya, Shuib, Awal Ashaari, Datuk Ziela Jalil, Ernie Zakri, Syamel, Fara Fauzana, Noryn Aziz dan Rozita Che Wan.
Tidak ketinggalan, konsert terbabit turut direstui dengan kehadiran ibu bapa selebriti itu iaitu Zin Abdullah dan Robiah Abdul serta anak-anak Ziana.
Pada penghujung konsert, Ziana dan Anuar mengumumkan berita gembira apabila bakal mengadakan konsert sama di Singapura pada 24 September depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.