Hiburan

Ziana Zain Pandang Penampilan, Suara Bagus Tak Cukup – “Bagaimana Kita Bawa Diri Sebagai Penyanyi.”

Share

Demi kelangsungan di dalam industri seni tanah air, penyanyi Ziana Zain menyifatkan bakat dan penampilan harus seiringan.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain berkata, ia adalah satu hal yang penting, khususnya di Malaysia.

“Tengoklah kebanyakan orang lama, kenapa mereka mampu bertahan? Kerana mereka punyai bakat dan imej. Dua faktor ini sangat penting. Inilah hakikat di Malaysia. Kita tidak seperti negara-negara Barat.

“Di sana, mereka tidak melibat warna kulit dan bentuk badan. Pada saya suara tetap perkara utama. Kedua adalah penampilan. Bagaimana kita membawa diri sebagai penyanyi.

“Cara kita berjalan dan bergerak itu merupakan satu language sebagai penyanyi. Hal ini yang akan buat orang terpikat. Sebab itu dua faktor ini sangat penting.

“Pada zaman ini, ramai penyayi yang bagus. Namun, disebabkan tiada penampilan, susah untuk mereka melangkah jauh. Bakat dan imej perlu selari,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Putus Terpaksa itu berkata sedemikian ketika ditemui di One In A Million (OIAM) 2024 di Shah Alam pada Ahad.

Ziana Ingat Pesan Bapa

Berada di kerusi juri OIAM 2024, Ziana menegaskan penampilan para peserta turut memainkan peranan dalam proses penjurian.

“Ya, betul! Saya juga menilai daripada aspek penampilan. Seperti yang anda lihat, saya ada tegur beberapa peserta mengenai soal penampilan.

“Nak jadi penyanyi ini bukan mudah. Kita kena berguru. Saya berguru dengan bapa saya. Ayah saya cakap satu sahaja, kalau ada suara tapi tak pandai jaga disiplin dan imej, susah nak berjaya. Saingan di hadapan terlalu besar.

“Lihat sendiri, yang datang ujibakat OIAM beribu orang tapi yang berjaya ke pentas utama hanya 20 peserta. Kalau kita datang dengan gaya selekeh tapi suara bagus, orang akan skeptikal. Peluang datang sekali. Jadi, jagalah,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, rata-rata peserta yang bertanding di OIAM 2024 mempunyai kualiti nyanyian yang baik lantas, mereka juga harus menunjukkan ‘wow factor’ untuk lebih menyerlah.

“Kita tak tahu soal rezeki. Ada kalanya mereka yang terkeluar ini mereka akan jadi lebih baik bila di luar. Namun, ini adalah pertandingan. Kita kena akur dengan pertandingan.

“Keputusan yang kami buat bukanlah suka-suka. Ada kalanya kita ralat bila buat sesuatu keputusan. Namun, ini adalah tanggungjawab.

“Dari segi komersial juga kita kena ambil kira,” katanya lagi.

Selain Ziana, penyanyi dan komposer, Datuk Yusry Abdul Halim dan penyanyi Indonesia, Cakra Khan turut bertindak selaku juri tetap.

OIAM 2024 telah pun membuka tirai dan menyaksikam enam peserta telah tersingkir di minggu pertama.

Kini, 14 peserta bakal meneruskan perjuangan bagi merebut hadiah bernilai 1 juta.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf