Hiburan

Zizan Razak Kini Lebih Introvert, ‘Segan’ Show Off Kisah Cinta Selagi Tiada Persetujuan Keluarga

Share

Pelakon dan pelawak, Zizan Razak merasakan peningkatan usia sedikit sebanyak membuatkan dirinya membataskan aktiviti bersosial seterusnya memilih kerap menghabiskan masa dengan diri sendiri dan keluarga.

Menurut Zizan, perasaan sedemikian timbul selepas negara berdepan dengan pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Ketika ini, saya merasakan diri saya lebih ‘introvert’. Kalau pergi apa-apa acara, saya nak terus balik rumah bila selesai. Saya tak tahu sama ada ia merupakan ‘mid life crisis’ atau hal lain.

“Kalau acara yang melibatkan orang ramai, saya jadi segan sikit. Mungkin ia juga merupakan impak daripada Covid-19 lalu.

“Saya jadi kerap bertanya kepada pengurus mengenai acara yang akan saya hadiri dan sama ada mereka sediakan jalan belakang. Saya bukan nak jadi superstar tapi segan nak berjumpa orang,” katanya kepada MH.

Malah jelasnya lagi, dia juga kini jarang berkongsi hal peribadi di media sosial melain urusan kerja.

“Dahulu pun tenang juga walaupun kerap berjumpa ramai orang. Rasa seronok dapat bergelak tawa.

“Malah, di media sosial juga, saya hanya memuat naik gambar dan kemas kini apa yang boleh. Kalau melibatkan kerja, saya akan kongsi.

“Kalau tiada kerja, saya akan muat naik gambar-gambar lama. Saya tidaklah semata-mata buat photoshoot untuk gambar baharu.

“Saya pun kurang gemar ulas hal-hal di media sosial tapi saya menghormati cara masing-masing. Orang lain ada pendapat sendiri. Begitu juga saya.

“Saya tidak akan mengulas kecuali ada temuramah. Saya hanya kongsikan pandangan dan tak berhak menghentam sesiapa,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai imejnya yang kini dilihat lebih bersih dan bebas gosip, pelakon filem Polis Evo ini mendedahkan dia sudah matang bila menguruskan urusan peribadi.

“Gosip fasal saya selalunya mengenai teman wanita sahaja. Bila lama tidak bercinta, tiadalah gosip itu. Selain gosip bercinta, saya memang minta dijauhkan daripada isu lain.

“Saya tidak kesal dengan isu yang pernah menimpa saya sebelum ini. Saya anggap sebagai proses pembelajaran dan kematangan.

“Kalau nak dating pun pandai-pandailah. Dahulu kita memang suka berkongsi. Namun, hari ini, kalau saya bercinta lagi, selagi tiada persetujuan dua keluarga, saya tidak akan tunjuk.

“Biarlah betul-betul sahih dan nak berkahwin,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf