Zizi Kirana Buat Keputusan; “Ada Beberapa Lagu Lama Yang Mungkin Tak Akan Saya Nyanyikan Secara Terbuka.”

Share

Penyanyi Zizi Kirana setakat ini mengambil keputusan untuk tidak akan menyanyi lagu-lagu lama miliknya yang kedengaran tidak selari dengan imejnya yang kini sudah bertudung litup.

Menurut Zizi, 37, atau nama sebenarnya Zizi Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, ada sesetengah lirik lagu yang pernah dirakamkan dilihat tidak lagi relevan untuk dinyanyikan susulan penampilan serta statusnya sekarang.

“Ada beberapa lagu lama saya yang mungkin saya tidak akan nyanyikan secara terbuka. Contohnya lagu Siapa Yang Bap Bap dan NAKKETAKNAK.

“Bagi saya, apabila saya sudah seperti ini (bertudung dan menutup aurat), lebih baik saya memilih untuk menyanyikan lagu yang lebih bersesuaian,” katanya kepada MH.

Zizi pada masa sama berkata, dia bersyukur kerana pihak penganjur mana-mana acara seolah memahami dan tidak pernah memintanya untuk menyanyikan lagu yang sudah tidak sesuai dengan imej baharunya itu.

“Saya rasa peminat faham dengan situasi saya ini. Penganjur juga faham dan selama saya sudah berubah, saya tidak lagi pernah diminta untuk nyanyi lagu-lagu lama yang tidak bersesuaian.

“Jujur, saya berasa bersyukur kerana saya tidak perlu terangkan kepada mereka… seolah-olah mereka sudah memahami,” katanya lagi.

Terdahulu, Zizi mengejutkan ramai apabila kerap memuat naik foto bertudung seterusnya memadam foto tidak menutup aurat di Instagram sekitar Jun tahun lalu selepas tampil berhijab sepanjang Ramadan sebelum ini.

Dia kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Yusuf Bahrin pada 19 September tahun sama.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH