Zizi Kirana Keguguran Anak Sulung, Hamil Luar Rahim… “Ada Pendarahan, Janin Tak Boleh Diselamatkan.”

Share

Penyanyi Zizi Kirana mengakui dia sebelum ini pernah mengalami keguguran ketika di awal kehamilan sekitar akhir tahun 2021.

Menurut Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 38, dia tidak menyangka sedang mengandung sehinggalah rasa tak sedap badan dan buat ujian kehamilan. 

“Saya terkejut sebenarnya sebab tak tahu ketika itu sedang hamil, ketika itu pula tengah kerja tak berhenti. Pada mulanya, badan rasa sakit-sakit, lenguh-lenguh… Kemudian ada teringin epal fuji merah. Bila Yusuf beli epal lain tak nak. Tapi layankan saja.

“Ada masa rasa tak nak makan hidangan berkuah, sampaikan tak nak tengok! Bila rasa begitu, saya jadi pelik. Bila cuba ujian kehamilan, ada dua garis. Terkejutlah kami.

“Kemudian apabila dah buat temu janji doktor, hari esoknya terus ada darah keluar dan sakit perut sampai menggigil. Bila ke hospital, doktor check ada pendarahan dan janin tak boleh diselamatkan sebab kandungan luar rahim,” katanya. 

Zizi mendedahkan perkara itu ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Shanell Harun A Decade Wows & Veils di EQ Kuala Lumpur, pada Ahad.

Zizi pada masa sama memberitahu, dia dikejarkan ke unit kecemasan sebanyak dua kali akibat pendarahan.

“Dua kali saya masuk bilik pembedahan dan kena bius sebab terlalu banyak pendarahan. Saya memang tak sedar. Yang saya ingat sebelum masuk bilik bedah Yusuf cakap, ‘Sayang kena hidup tau… saya tunggu kat luar’.

“Dia pun banyak tenangkan saya dan beri saya semangat. Katanya Allah yang beri rezeki dan kita sebagai hamba-Nya perlu sentiasa bersyukur,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Zizi memberitahu keadaan kesihatannya dan suami, pelakon Yusuf Bahrin dalam keadaan baik dan dia dinasihatkan agar kerap berehat sekiranya hamil dalam masa terdekat.

“Sejak kejadian itu, saya mengurangkan kerja agar tidak terlalu rapat. Biar ada rehat. Doktor pun nasihati saya rehat betul-betul kalau hamil lagi.

Alhamdulillah, kami berdua tiada masalah pun cuma tiada rezeki lagi,” tambah Zizi.

Imbas kembali, Zizi dan Yusuf telah mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH