Pelakon, Zul Ariffin mengakui setiap tahun dirinya akan berhenti dari memuat naik sebarang foto atau status di media sosial, khasnya Instagram bagi memberi ruang terhadap diri sendiri.
Menurutnya, perkara tersebut sudah pun diamalkan sejak sekian lama dan ia turut diketahui para peminat setianya.
“Setiap akhir tahun saya akan ‘shut down’ akaun Instagram. Its just happend benda tu dan ramai yang ingat saya berbuat demikian kerana hal tersebut. Setiap akhir tahun saya akan ‘switch off’ dan take a break.
“Saya buat kerana kadang-kala telefon kita sudah biasa sangat dengan sosial, sibuk tengok orang punya aktiviti dan sebagainya. Setiap tahun saya akan buat benda tu, at least,” jelas Zul.
Bagaimanapun, penutupan akaunnya tidaklah mengambil masa panjang dan Zul lazimnya akan membuka semula sebulan selepas itu.
“Sekejap saja tutup, lepas tu aktif balik. Hampir sebulan tidak aktif dan peminat saya tahu akan perkara itu. Sudah bertahun, cuma ada yang tidak perasan… My fans perasan dah.
“Mereka tahu sebab itu mereka tiada kata apa pun. My end of the year punya rutin,” jelasnya lagi.
Zul pada masa sama turut mendedahkan, akaun Instagram miliknya dikawal selia dirinya sendiri selain bantuan kakak.
“Laman sosial saya yang kawal dan ada ketika kakak saya yang tolong. Saya tiada skuad pengurusan.
“Saya sendiri yang uruskan dari dulu hingga sekarang. Ia lebih menyenangkan,” katanya lagi.
Terdahulu, aktor berbadan sasa ini ditemui di set penggambaran filem terbarunya, Talbis Iblis di Pulau Carey, Klang baru-baru ini.
Turut sama terlibat di dalam filem seram terbitan Infinitus Productions ini ialah Nasha Aziz, Azira Shafinaz dan ramai lagi dan dijangka akan ditayangkan hujung tahun ini.
Zul sebelum ini mendapat perhatian ramai sebelum menjelang detik tahun baru lalu apabila dikatakan telah menyahaktifkan akaun Instagramnya.
Lalu tindakannya itu menimbulkan spekulasi di kalangan peminat bahawa ia dibuat selepas timbulnya isu sensasi yang didakwa mirip kepada pelakon berkenaan mulai bertebaran di media sosial.