Pelakon sasa, Zul Ariffin memberi penjelasan susulan aksi mesranya yang dilihat mendukung seorang wanita menerusi video promosi produk bengkung yang tular di laman media sosial.
Menurut aktor erusia 36 tahun itu, apa yang berlaku sebenarnya berlaku secara spontan ketika sesi rakaman video itu dijalankan.
“Pada awalnya, sebelum sesi rakaman video diadakan memang kami sudah ada perancangan untuk penghasilan video berkenaan.
“Tetapi ketika sesi rakaman video itu dijalankan, secara tiba-tiba dan spontan idea babak tersebut muncul untuk menambah baik lagi penghasilan video berkenaan supaya nampak lebih menarik,” katanya.
Zul berkata demikian ketika ditemui di majlis pelantikannya sebagai duta bengkung keluaran jenama Superwoman di Concorde Hotel, Shah Alam.
Dalam pada itu, Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin menambah, dia bersikap terbuka dan tidak berasa bimbang mengenai penerimaan ramai terhadap tindakannya itu.
“Sudah semestinya, apabila video itu keluar pasti akan jadi perhatian ramai. Bagi saya, apa sahaja orang nak cakap mengenainya atau bagaimana orang luar untuk menerimanya, itu subjektif.
“Sebenarnya, apabila ada orang bercakap mengenai hal ini sejujurnya ini adalah satu pertunjukan perniagaan.
“Kami memang tidak ada niat atau sengaja untuk merakam babak tersebut supaya video itu jadi tular, tapi kami buat untuk promosi produk,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai pembabitannya sebagai duta produk tersebut, Zul terharu atas kepercayaan yang diberikan selain percaya, penggunaan
bengkung sebenarnya tidak hanya khusus untuk kaum wanita semata-mata.
Sebaliknya, ia boleh juga digunakan oleh kaum lelaki terutama untuk tujuan sokongan tubuh badan agar lebih tanpak tegap dan ‘fit’.
“Saya juga menyukai produk bengkung yang banyak membantu saya bersenam di gimnasium walaupun saya akui, tak kongsikan aktiviti seaman saya di media sosial. Saya jenis suka buat secara senyap.
“Tetapi untuk ini, tak lama pun saya ambil masa untuk bersetuju sebab memang menggunakan bengkung untuk tujuan sokongan tubuh badan.
“Senang bekerjasama dengan pasukan Superwoman dan saya juga menyukai produk bengkung yang dikeluarkan. Semestinya, saya mahukan sesuatu yang berkualiti kerana turut menggunakan nama saya sebagai duta,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.