Pelitaku, Lama Tak Jumpa dan Kelmarin adalah lagu yang sinonim dengan penyanyi era 1980-an, Zur Eda,.
Penyanyi berusia 52 tahun ini juga cukup terkenal dengan kemantapan vokal dan imejnya yang tersendiri.
Seawal bangku sekolah rendah lagi, Zur Eda aktif menyertai pelbagai acara nyanyian anjuran pihak sekolah, malah meneruskan minatnya dengan memilih menyanyi di kelab malam selepas tamat persekolahan.
Pada awalnya hasrat itu tidak dibenarkan ibu bapanya kerana menyanyi pada masa itu dianggap tidak menjanjikan masa depan yang cerah.
Zur Eda menolak tawaran belajar dan berkeras meneruskan minat dengan menyanyi di kelab malam serta berjanji membuktikan kejayaan dalam bidang ini.
“Pada era itu, kelab malam cukup popular dan menjadi platform ramai anak muda menunjukkan bakat dalam bidang nyanyian,” katanya memulakan cerita.
Selepas beberapa tahun menimba pengalaman di kelab malam Traffic Light, bakat Zur Eda mula menjadi perhatian dan seterusnya mendapat tawaran bergelar artis rakaman apabila seorang pemuzik terkenal, Gren Pereira tertarik dengan kebolehannya menguasai pentas.
Selepas berjaya dalam sesi audition, kata Zur Eda, pada 1987 dia menandatangani kontrak sebagai artis rakaman di bawah ASP Records dan tampil dengan album pertama, Pelitaku.
“Lagu itu meletup dan memasuki carta lagu popular di radio dan nama Zur Eda mula dikenali, apatah lagi saya ketika itu tampil dengan gaya penampilan sendiri tanpa meniru atau terikut-terikut dengan penyanyi sedia ada.
“Mungkin kerana itu, orang mudah nampak saya dan saya anggap itu sebagai peluang terbaik memperkenalkan diri kepada umum biarpun ketika mula bergelar artis saya sudah berkahwin,” katanya yang terkenal dengan imej subang bulat.
Selepas Pelitaku, penyanyi yang mendapat jolokan Sade versi Malaysia ini kemudiannya muncul dengan album Lama Tak Jumpa (1990) dan Kelmarin (1993) dan Zur Eda dilihat begitu serasi dengan lagu berirama latin.
“Sebenarnya sebelum bergelar artis saya cenderung dengan muzik rock dan pernah mempunyai band rock sendiri ketika remaja. Kami sering menyertai pertandingan battle of the band.
Katanya, suaranya yang besar mungkin sesuai dengan muzik rock dan memberi keselesaan untuk menyampaikan lagu genre tersebut.
Dia juga selesa memilih lagu kumpulan Scorpion, Deep Purple serta Curt Cobain ketika membuat persembahan.
Namun katanya, selepas bergelar penyanyi komersial, dia beralih ke genre berbeza sehingga dikenali dengan lagu berirama Latin sehingga hari ini.
Menggunakan sebaiknya pengalaman menyanyi di kelab malam, Zur Eda sering tampil dengan persembahan memukau di pentas, sementelah tuan empunya badan juga mahu memastikan ada sesuatu yang berbeza untuk menarik peminat.
“Antara yang menjadi trademark persembahan saya adalah dengan gaya menari menghentakkan kaki serta melibas kain di pentas. Ini sering menjadi bualan peminat saya,” kenangnya.
Lebih tiga dekad dalam industri, Zur Eda melalui pelbagai kenangan pahit manis termasuk pengalamannya mengadakan persembahan di pendalaman Sabah dan Sarawak.
“Saya sebelum ini penyanyi kelab malam dan terbiasa dengan pengunjung yang terdiri daripada orang bandar yang punya cara mereka sendiri untuk berhibur.
“Jadi apabila menghiburkan peminat di kawasan pendalaman, ia memberi saya pengalaman baru. Saya sangat tersentuh dengan cara mereka menghargai penyanyi. Bayangkanlah ada yang sanggup naik bot dan keluar dari hutan untuk sokong kami membuat persembahan di tempat mereka. Ini sangat memberi kesan kepada saya,” katanya yang juga peserta Gegar Vaganza musim ketiga tahun lalu.
Tambah Zur Eda, ketika terlibat dengan persembahan di pentas funfair, dia sering menerima bayaran wang kertas RM1.
“Pernah satu ketika saya terlibat dengan siri jelajah funfair di Sarawak yang berlangsung di 10 tempat berbeza.
“Setiap tempat saya terima bayaran RM1,000, tapi dalam bentuk wang kertas RM1. Bayangkan berapa keping wang RM1 yang saya terima untuk 10 persembahan.
“Wang kertas RM1 itu bayaran yang dikenakan kepada setiap penonton yang masuk ke funfair, dan dengan bayaran itulah penganjur membayar kami selepas mengadakan persembahan,” katanya.
Biarpun masa berlalu dan industri dipenuhi dengan artis generasi baru, Zur Eda mengakui tidak pernah berhasrat meninggalkan dunia nyanyian yang menjadi darah dagingnya.
“Saya akan terus menyanyi sampai bila-bila sebab dah jadi sebahagian daripada hidup saya dari dulu hingga sekarang.
“Insya-ALLAH bulan depan saya akan muncul dengan single terbaru yang bakal mengembalikan peminat kepada nostalgia lagu-lagu saya sebelum ini,” kata ibu kepada dua anak nenek kepada seorang cucu ini.